Dalam pengajian akademik, penetapan matlamat telah menjadi satu subjek kajian yang menyeluruh, walaupun teori-teori berkenaan dengannya hanya muncul pada era 1960-an. Hasil kerja Edwin Locke, seorang pakar psikologi dari Amerika Syarikat pada tahun 1966 menjadi perintis terhadap banyak kajian akademik lain berhubung dengan penetapan matlamat dan prestasi kerja. Hasil kerja beliau telah diterima ramai sebagai antara penyumbang utama dalam menjelaskan teori motivasi walaupun ia lebih cenderung pada aplikasi di tempat kerja.
Kajian beliau berterusan untuk mencari penyelesaian pada persoalan – bagaimana niat seseorang dalam mencapai sesuatu boleh dihubungkaitkan dengan pencapaian sebenar mereka? Inilah asas kepada penetapan matlamat – ianya semudah menetapkan niat untuk mencapai sesuatu. Jadi dalam kajian itu, beliau cuba mencari hubungkait sama ada seseorang yang menetapkan sasaran untuk pencapaian yang tinggi, adakah pencapaiannya akan lebih dari sebelumnya (yakni tanpa sebarang sasaran) ?
Dua penemuan utama yang didapati oleh beliau ialah:
- Matlamat yang jelas dan spesifik adalah lebih baik dari matlamat yang kabur. Sebagai contoh – sekadar berkata “Saya ingin buat yang terbaik penilaian itu” atau ‘Saya ingin berkerja lebih kuat dari sekarang” tidak begitu efektif kerana tidak jelas dan spesifik. apa yang dimaksudkan dengan ‘terbaik’ dan ‘berkerja lebih kuat’? Adalah lebih baik untuk anda berkata “Saya ingin capai markah 90% dalam penilaian itu” atau “Saya ingin bekerja 2 jam lebih dari sekarang”.
- Matlamat yang sukar adalah lebih baik dari matlamat yang mudah. Ini kerana kita akan lebih bermotivasi untuk mencapai matlamat yang sukar. Pencapaian matlamat itu juga akan menjadi lebih bermakna. Sebagai contoh, jika anda teringin masak makan yang sedap, menetapkan matlamat untuk masak ikan asam pedas contohnya, adalah lebih bermakna dari hanya masak Mee Segera Perisa Asam Laksa kerana ikan asam pedas lebih sukar dimasak tetapi anda puas dengan nikmat hidangan itu.
Dua penemuan utama Edwin Locke ini merintis jalan kepada beberapa penemuan lain yang dilakukan oleh beliau dan juga pengkaji-pengkaji lain seperti Dr. Gary Latham selepas itu. Beberapa konsep berkaitan seperti komitmen terhadap matlamat, maklum balas terhadap prestasi dan hasil kerja, dan tahap kesukaran tugas telah mengukuhkan teori penetapan ramai sehingga ianya diterima umum sehingga kini. Menerusi penemuan merekalah muncul konsep mudah diingat iaitu SMART dalam penetapan matlamat.
Kesimpulannya, untuk berjaya, kita memerlukan kekuatan dalaman dalam menempuh pelbagai dugaan dan cabaran. Untuk berjaya juga terlalu banyak yang perlu dilakukan. Terlalu banyak pengorbanan yang perlu dibuat. Banyak yang perlu dibaca, banyak latihan yang perlu dibuat. Namun, perancangan yang sistematik serta penetapan matlamat diri dan cara belajar secara efektif banyak membantu pelajar menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Yang penting, mulakan langkah pertama dengan menentukan matlamat hidup dan aturkanlah langkah satu demi satu. Pelajar akan dapat mengatasi masalah ‘stres’ dan lebih tabah menghadapi apa jua rintangan dan seterusnya berjaya mencapai apa yang diimpikan. Insyaallah.
Rujukan :-
No comments:
Post a Comment